Safeek Affendy Razali dan Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my


KAPAL mewah 'The Equanimity' kini dalam pelayaran dari perairan Batam, Indonesia menuju ke Pelabuhan Klang, sebelum dijangka tiba sekitar jam 3 petang esok.

Ia yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

Pantauan NSTP melalui laman sesawang MarineTraffic.com sekitar jam 5.30 petang hari ini, mendapati kapal berkenaan dikemudi pada kelajuan 6.2 knots melalui laluan perairan antarabangsa Selat Singapura sebelum memasuki Selat Melaka.

Kerajaan Indonesia menyerahkan kapal berkenaan kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa kunjungan beliau ke negara berkenaan Jun lalu.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam kenyataannya melalui akaun Facebook miliknya berterima kasih kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan pihak berkuasa Indonesia kerana menyerahkan kapal layar mewah itu kepada Malaysia, hari ini.

“Saya ucap terima kasih kepada Indonesia kerana memberi kerjasama erat dengan Malaysia dan menyelesaikan satu daripada masalah yang kita hadapi kerana kita percaya kapal ini adalah milik kerajaan Malaysia kerana dibeli dengan duit Malaysia yang dicuri pihak tertentu.

“Kalau ada mana-mana pihak yang ingin dakwa bahawa kapal ini mereka punya, mereka boleh tunjuk bukti yang kapal ini dimiliki mereka. Kita (kerajaan) ingin tahu dari mana mereka mendapat wang yang begitu banyak untuk membeli kapal yang begitu mahal harganya,” katanya dalam satu rakaman video dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Menurutnya, sekiranya pemilik dapat membuktikan pembelian kapal itu menggunakan wang mereka maka pihak berkenaan akan menerima kembali kapal berkenaan daripada kerajaan Malaysia.

Katanya, mengikut laporan dan siasatan awal DoJ Amerika Syarikat, kapal berkenaan dibeli dengan wang yang dicuri daripada 1MDB.

“Saya betul-betul berterima kasih kepada kerajaan Indonesia dan Presiden Indonesia, bapak Jokowi kerana menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Malaysia,” katanya.

Berita berkaitan

The Equanimity diserahkan kepada Malaysia?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 7:38 PM