KAPAL layar mewah dipercayai milik Jho Low kini berada berhampiran rumah api di Pulau Nong dekat Riau. FOTO Arkib AFP
Safeek Affendy Razali
cnews@nstp.com.my


KAPAL layar mewah 'The Equanimity' yang berharga RM1 bilion milik ahli perniagaan Low Teak Jho atau Jho Low kini dipercayai berada di perairan wilayah Riau, Batam, Indonesia.

Ia yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sepatutnya dijadualkan menuju ke Pelabuhan Batu Ampar, Batam, namun berlabuh di satu kawasan berhampiran rumah api di Pulau Nong, iaitu laluan masuk ke Teluk Tering, Riau.

Sumber berkata, kapal berkenaan dilihat berlabuh di kawasan itu pada jam 9.30 pagi selepas dipercayai menerima arahan tertentu daripada pihak berkuasa Indonesia.

“Kapal berkenaan sepatutnya akan ditempatkan di Batam bagi menunggu arahan selanjutnya dari pemerintah pusat di Jakarta sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia,” katanya.

Terdahulu, kapal berkenaan melalui kawasan perairan antarabangsa berhampiran Singapura sebelum dipercayai dibawa untuk menuju ke Pelabuhan Batu Ampar, Batam.

Sementara itu, sumber lain melaporkan sepasukan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman, kini berada di Batam bagi membincangkan urusan perundangan untuk membawa balik kapal berkenaan ke negara ini.

Sabtu lalu, Reuters melaporkan satu keputusan sudah dipersetujui antara kerajaan Malaysia dan Indonesia bagi membolehkan kapal berkenaan diserahkan kepada Malaysia susulan daripada permintaan yang dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa kunjungannya ke Indonesia, Jun lalu.

Pada Februari lalu, kapal berkenaan dirampas dan disita pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat, bagi membantu siasatan berhubung skandal penyelewengan oleh 1MDB.

Bagaimanapun, pada April lalu Mahkamah Indonesia memutuskan tindakan menyita kapal berkenaan adalah salah dan harus diserahkan pada pemilik asalnya Jho Low, namun kapal itu sekali lagi disita pada awal Julai lalu atas permintaan secara rasmi dari Kerajaan Amerika Syarikat.

Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah Khas dan Ekonomi Polis Republik Indonesia, Daniel Silitonga berkata, kapal berkenaan akan diserahkan kepada Malaysia di kawasan perairan antarabangsa Indonesia dan Malaysia, namun tarikhnya masih belum dipastikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 4:42 PM