BOMBA membantu mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Shahrul Nizam Mohamad
cnews@nstp.com.my


KANAK-KANAK perempuan berusia 13 tahun terpaksa menahan kesakitan satu jam selepas kakinya tersepit di pedal basikal ketika bermain di halaman rumah di Taman Seri Makmur, Temerloh, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.17 petang, mangsa berusia 13 tahun menjerit sekuat hati memanggil ibunya untuk meminta bantuan.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila kaki kiri mangsa tergelincir ketika mengayuh basikal dan tersepit di celah pedal basikalnya.

Mangsa kemudian terjatuh atas lantai dan cuba dibantu oleh ibunya namun gagal.

Ibunya kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Temerloh, untuk meminta bantuan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa dan mengambil masa 20 minit untuk tiba di tempat kejadian.

Beliau berkata, bomba terpaksa menggunakan alat pemotong hidraulik untuk memotong lidi dan rangka basikal bagi mengeluarkan kaki mangsa.

Katanya, pihaknya menggunakan cara memujuk mangsa supaya bertenang dan tidak menangis ketika proses mengeluarkan kaki mangsa.

“Mangsa dilaporkan stabil ketika menerima bantuan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) Bomba sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 1:27 PM