PASUKAN mencari dan menyelamat membawa jenazah Rahzi. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“KAMI bersyukur mayatnya sudah ditemui,” kata Mohd Khairul Razak, 27, adik kepada lelaki ditemui lemas terjatuh dari bot nelayan di Jeti Pendaratan Ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dungun, malam tadi.

Mayat mangsa, Rhazi Razak, 32, ditemui oleh oleh sebuah bot pukat tunda yang dalam perjalanan keluar menangkap ikan, jam 8.45 pagi hari ini.

Mayat lelaki berpakaian seluar denim dan memakai baju-T putih ditemui terapung di permukaan air, kira-kira 500 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Menurut Mohd Khairul, sejak malam semalam, dia dan ahli keluarga lain ‘berkampung’ di Kompleks LKIM sambil tidak putus-putus berdoa supaya abangnya itu segera ditemui.

“Sepanjang operasi pencarian, saya sudah reda sekiranya abang ditemui meninggal dunia... cuma saya berdoa supaya jenazahnya segera ditemui.

"Pagi ini, saya bersyukur selepas pasukan mencari menemui mayat abang. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu,” katanya.

Dalam kejadian semalam, mangsa dipercayai tergelincir dari sebuah bot nelayan ketika cuba mengambil barang di dalam bot terbabit, kira-kira 7 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, selepas ditemui nelayan terbabit segera memaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat.

“Pasukan mencari dan menyelamat segera ke lokasi kejadian sebelum mengangkat mayat mangsa dan dibawa naik ke jeti Kompleks LKIM Dungun.

“Jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut," katanya.

Berita berkaitan

'Harap jasad abang ditemui segera'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 12:38 PM