Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tersenyum gembira apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini daripada tuduhan merogol remaja 16 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Azwan Abidin, 24, di akhir kes pendakwaan.

"Selepas mendengar dan mempertimbangkan keterangan pihak-pihak sepanjang perbicaraan, di akhir kes pendakwaan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

"Dengan ini, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil untuk bela diri," katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol perempuan yang dipercayai jirannya berusia 16 tahun ketika kejadian, di lorong belakang rumah di Jalan Sekolah, Kampung Majidee di sini, antara 10 malam hingga 12 tengah malam, Januari 2016.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi'uddin mengemukakan sembilan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak Januari 2017.

Tertuduh diwakili barisan peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah, Ahmad Yusri Ahmad Fuad dan Mohd Safwan Saleh.

Ketika ditemui di luar mahkamah, tertuduh tersenyum dan kelihatan bersalaman dengan peguam yang mewakilinya tanda terima kasih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 11:41 AM
MOHD Azwan Abidin, 23, ketika hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes rogol di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim