ANGGOTA bomba menjalankan rondaan bagi mengesan Rhazi (gambar kecil) yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot nelayan di Kompleks LKIM, Dungun, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


LELAKI dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot nelayan di Jeti Pendaratan Ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, malam tadi.

Rhazi Razak, 32, dari Kampung Teluk Bidara Seberang Pintasan, dipercayai tergelincir ketika cuba mengambil barang di dalam bot terbabit pada 7 malam.

Seorang nelayan, Nor Azman Hamzah, yang melihat kejadian itu segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Adik mangsa, Mohd Khairul Razak, 27, berkata, dia segera ke Kompleks KLIM sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, abangnya itu bekerja sendiri dan suka membantu rakan melakukan sebarang kerja termasuk membantu nelayan.

“Kali terakhir saya bertemu abang dua hari lalu dan hari ini saya sungguh terkejut mendapat berita menyedihkan ini.

“Abang amat rapat dengan saya dan sekiranya ditakdirkan dia meninggal dunia, saya berharap jasadnya ditemui segera,” katanya ketika ditemui, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Saifuddin Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.07 malam sebelum lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika sampai, mangsa dipercayai sudah tenggelam ke dasar sungai dan kami turut menghubungi polis.

“Seramai 20 anggota bomba bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Keluarga mangsa dimaklumkan berhubung kejadian itu dan sehingga 11.45 malam tadi, usaha mengesan mangsa masih belum berhasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 12:47 AM