Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@nstp.com.my


PENGANJURAN tiga hari pameran hartanah MyRumah 2018 oleh The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Komtar JBCC, Johor Bahru menerima sambutan menggalakkan dan berjaya mencapai sasaran kehadiran pengunjung.

Ketua Pengiklanan Wilayah NSTP, S Linggaraj berkata, pameran kali ketiga dianjurkan di lokasi sama itu mendapat sambutan amat menggalakkan termasuk aktiviti keluarga dianjurkan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod pihaknya, jumlah orang ramai yang hadir sepanjang tiga hari pameran itu mengatasi penganjuran tahun lalu iaitu melebihi 15,000 pengunjung.

“Sambutan diterima pada penganjuran MyRumah 2018 di Komtar JBCC amat menggalakkan tidak kira daripada kumpulan mahu mencari kediaman atau mereka yang ingin mendapatkan maklumat daripada sesi ceramah sepanjang tiga hari.

“Selain itu, aktiviti keluarga seperti pertandingan swafoto, mewarna, sambung lirik lagu dan kerusi muzikal di pentas dua turut mendapat sambutan baik daripada pengunjung,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Linggaraj berkata, jualan dan sambutan diterima amat memberangsangkan berikutan barisan pemaju ternama dan projek menarik ditawarkan pempamer sepanjang tiga hari pameran berlangsung.

“NSTP mengucapkan terima kasih atas sokongan kerajaan Johor yang menyokong usaha penganjuran MyRumah 2018 dan berharap kejayaan ini dapat selari dengan usaha kerajaan negeri terutama dalam menjayakan sektor hartanah di selatan tanah air.

“Selepas Johor Bahru, pameran hartanah MyRumah 2018 akan diteruskan ke lokasi keempat iaitu di pusat beli-belah Mahkota Parade, Melaka pada bulan hadapan dan orang ramai dijemput hadir memeriahkan siri pameran MyRumah 2018,” katanya.

Pameran buat kali ketiga berturut-turut di Komtar JBCC kali ini menyaksikan sebanyak tujuh pemaju dan empat syarikat bukan pemaju menyertai MyRumah Johor Bahru 2018 dengan lebih 500 unit kediaman ditawarkan untuk dijual.

Tujuh pemaju yang mengambil bahagian ialah Pulai Springs Resort Berhad, Bukit Pelali, Eco Tropics Sdn Bhd, Uda Land, Johor Land Berhad, Hua Yang Berhad dan Sunway Iskandar Sdn Bhd.

Sebanyak empat lagi pempamer bukan pemaju yang terbabit dengan MyRumah Johor Bahru adalah Amanah Raya Berhad, Bank Muamalat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 10:10 PM
SEBAHAGIAN pengunjung melihat kediaman pada Siri Ketiga Pameran Hartanah MyRumah 2018 anjuran NSTP di Komtar JBCC, Johor Bahru, hari ini. FOTO dan video Mohd Azren Jamaludin.