Mustafa Kamal menyarungkan vest kepada seorang Sahabat Maktab. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Tuan Asri Tuan Hussein

MAJLIS Pelancaran dan Pelantikan Sahabat Maktab di Maktab 74, semalam berlangsung ringkas, namun hakikatnya ia satu sesi pentauliahan penuh bermakna kepada 30 individu berjiwa besar.

Biarpun hanya diberi sehelai vest dan topi berwarna kelabu, tanggung jawab dipikul amat berat kerana sejurus menyarung seragam itu secara rasminya mereka bukan lagi jemaah biasa tetapi ibarat sebahagian petugas Tabung Haji (TH).


Azwan Aziz. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein

Azwan Aziz, 30 dari Johor Bahru menyedari hakikat itu tapi sudah bersedia memikulnya kerana pembabitan dalam aktiviti amal dan kerja kebajikan, sudah sebati dengan dirinya.

"Saya memohon untuk menjadi Sahabat Maktab sejak di tanah air lagi iaitu ketika menyertai Kursus Haji Perdana peringkat negeri Johor. Ingatkan tak dapat, rupa-rupanya di sini baru mereka buat pelantikan.

"Saya tahu tugas kami bukan mudah tapi insya-Allah saya akan memberi yang terbaik berbekalkan pengalaman saya dalam aktiviti sukarela dan kebajikan sebelum ini," katanya.

Selain Azwan, isterinya Sarina Md Abdul Rahman, 38, turut terpilih untuk menjadi Sahabat Maktab 74 dalam majlis yang berlangsung di maktab itu di Hotel Abraj Al-Janadriyah, Makkah.

"Saya dan suami memang sering bersama-sama terbabit dalam aktiviti sukarela seperti membantu gelandangan, anak yatim dan juga pelajar tahfiz. Pengalaman itu, insya-Allah akan membantu kami menjalankan tugas Sahabat Maktab," katanya.

Sahabat Maktab adalah jemaah haji yang secara sukarela memohon untuk membantu petugas TH menguruskan pergerakan jemaah untuk terutama ketika operasi Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Ia program tradisi pada setiap musim haji sejak diperkenalkan pada 2006 dan pada tahun ini, seramai lebih 300 jemaah dipilih menjadi Sahabat Maktab di 12 maktab penginapan di sini.


Seramai 30 jemaah haji yang dilantik Sahabat Maktab 74 bergambar selepas majlis pelantikan. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein

Pengurus Maktab 74 Mustafa Kamal Abdul Latif berkata, Sahabat Maktab terbahagi kepada tiga kategori iaitu Sahabat Medik, Sahabat Ibadat dan Sahabat Am.

Menurutnya, pemilihan Sahabat Maktab mengikut tiga kategori itu dibuat berdasarkan latar belakang mereka.

"Jika jemaah itu seorang doktor atau jururawat, kita lantik dia menjadi Sahabat Medik, jika dia ustaz atau guru agama akan kita lantik sebagai Sahabat Ibadat manakala Sahabat Am pula dipilih dalam kalangan jemaah yang ada latar belakang sebagai sukarelawan.

"Apapun, kriteria paling penting ialah semangat sukarelawan yang tinggi dan sihat tubuh badan kerana ini kerja sukarela, tanpa bayaran, sebaliknya semata-mata ikhlas kerana Allah," katanya.

Menurutnya, peranan Sahabat Maktab paling penting ialah membantu urusan penyelarasan keberangkatan dan ketibaan sewaktu operasi Masyair iaitu wukuf di Arafah, serta bermalam di Muzdalifah dan Mina.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 2:08 PM