Oleh Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“SAYA hairan kenapa dia belum sampai untuk baca Yassin di majlis tahlil. Alangkah terkejutnya bila dapat tahu arwah meninggal dunia dalam perjalanan.”

Begitu kata Che Wan Ummi Kalsum Che Wan Malim, 33, menantu kepada Lijah Abdullah, 62, yang maut selepas jubahnya tersangkut pada gegancu motosikal, menyebabkannya jatuh ketika membonceng kenderaan itu di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), kira-kira 3 petang, semalam.

Mangsa disahkan meninggal dunia, 7.45 malam tadi ketika dirawat di Hospital Dungun.

Che Wan Ummi Kalsum berkata, ibu mentuanya sebelum itu meminta anak jiran, Mohd Khairul Anuar Mohd Sah, 21, menghantarnya ke majlis bacaan Yassin dan tahlil berikutan kematian penduduk kampung.

“Saya sampai dulu di majlis itu, namun arwah belum sampai dan setengah jam selepas itu suami memaklumkan arwah ditimpa kemalangan,” katanya.

Katanya, beliau bergegas ke Klinik Kesihatan AMBS dan mendapati ibu mentuanya sudah tenat.

“Kami mengejarkannya ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut namun arwah disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di situ,” katanya.

Menurutnya, ibu mentuanya itu seorang yang baik hati dan amat menyayangi semua lapan menantu dan cucu-cucunya.

“Arwah memang gemar dan sering hadir majlis bacaan Yassin, marhaban dan berzanji setiap kali dijemput penduduk, malah beliau juga banyak mengajar dan membetulkan bacaan Yassin dan marhaban saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairul Anuar berkata, ketika dalam perjalanan, dia merasa motosikal ditunggangnya bergoyang sebelum terdengar bunyi mangsa terjatuh.

Katanya, beliau memberhentikan motosikal dan mendapatkan mangsa yang ketika itu tersembam di atas jalan.

“Mangsa berlumuran darah di kepala dan muka dan tidak berkata apa-apa ketika saya mengajarnya mengucap.

“Saya pada mulanya tak tahu macam mana boleh terjatuh sebelum mendapati cebisan jubah mangsa melekat pada motosikal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa.

“Jenazah mangsa dimandi dan dikafankan di Hospital Dungun sebelum dituntut keluarganya pada 11 malam,” katanya.

Berita berkaitan:

Maut jubah terbelit gegancu motosikal

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 5:37 PM