JENAZAH Nurnia yang ditemui mati dibunuh di bilik sewanya rabu lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kanowit. FOTO/HARUN YAHYA
Harun Yahya
cnews@nstp.com.my


BEDAH siasat ke atas mayat Nurnia Azalea Priscila Edward mendapati wanita itu maut berikutan kecederaan pada kepala akibat dihentak benda tumpul.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata selain itu, terdapat pendarahan di bawah selaput otak serta pendarahan di permukaan otak, retak tengkorak dan lebam yang menyeluruh di bawah kulit kepala mangsa.

Katanya, bedah siasat juga mendapati mangsa mengalami banyak kesan kecederaan akibat hentakan benda tumpul yang tertumpu pada muka, kepala dan leher.

“Mangsa juga ada kesan kecederaan kerana diikat dan dijerut pada leher, pergelangan tangan dan kaki.

“Kami masih memburu seorang lelaki yang dikenali sebagai Philip Uja, berusia 40-an, bagi membantu siasatan kes ini,” katanya di Kanowit, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, jenazah Nurnia, 26, yang selesai dibedah siasat awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kanowit, jam 10 pagi tadi.

Orang ramai termasuk ahli keluarga dan rakan rapat hadir di tanah perkuburan untuk memberikan penghormatan terakhir.

Mayat Nurnia ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kaki dan tangannya diikat ke belakang, manakala kepalanya ditutup dengan kain dan tudung, jam 3.45 petang semalam.

Mangsa yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara di UTC Sibu tinggal bersendirian di bilik sewa di sebuah rumah, manakala suaminya pula bertugas di Tatau, Bintulu.

Berita berkaitan

Di manakah Philip Uja?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 4:27 PM