KAMARUZAMAN. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Ibrahim Isa
Ibrahim@nstp.com.my


“SETIAP hari saya merindui anak-anak dan isteri, perkara pertama saya mahu lakukan adalah memeluk mereka semua,” kata Kamaruzaman Awi, 47.

Kamaruzaman adalah salah seorang daripada enam tekong yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan mereka tahun lalu.

Tekong berasal dari Dungun, Terengganu itu dibebaskan dari Penjara Lanal Terempa, Riau, selepas ditahan sejak April 2017.

Kamaruzaman berkata, tiada perkara lain yang membimbangkan dirinya ketika ini kecuali nasib keluarga terutama dua anak yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

“Ini tidak bermakna saya tidak bimbangkan masalah lain terutama masa depan anak kedua dan isteri, cuma mereka perlu mengambil peperiksaan besar sedangkan keluarga kami berdepan masalah sejak tahun lalu.

“Alhamdulillah, ketika berada di penjara saya berpeluang bertanya khabar dengan mereka, namun hati saya sayu mengenangkan nasib anak sulung, Siti Norain Natasya, 17, dan Muhammad Irfan Farhan, 12.

“Saya juga rindukan anak kedua, Muhammad Syamil Faris, 16, dan isteri, Farizun Ngah, 42, serta tidak sabar untuk bertemu mereka,” katanya.

Kamaruzaman berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di Johor Bahru, hari ini.

Kamaruzaman berkata, ketika di penjara mereka hanya dihidangkan nasi, tempe dan kuah menyebabkannya teringin untuk menikmati budu serta nasi dagang.

Katanya, apabila pulang mereka akan mengadakan majlis doa selamat sebagai tanda kesyukuran dan akan ke laut tidak lama lagi.

“Saya tidak serik malah rindu mahu ke laut kerana itu sajalah kemahiran saya sejak 20 tahun lalu. Bagaimanapun, saya tidak akan keluar dari perairan Terengganu selepas ini.

“Dalam kejadian April tahun lalu, bot kelas B kami terbabas ke Pulau Laguna berhampiran sempadan, namun kami didakwa menceroboh dan ditarik ke Indonesia.

“Alhamdulillah, semuanya selesai berkat bantuan kerajaan Malaysia menerusi konsulat dan menteri selain bantuan pegawai Jabatan Perikanan Malaysia serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, selepas dua tahun tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga, Aidiladha ini akan disambut lebih meriah berbanding sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 1:18 PM