DZULKEFLY (dua dari kiri) bersama Abdul Jalil (kiri) mendengar penerangan daripada Timbalan Pengurus Jabatan Pemasaran Johor Land, Mohd Tarmizi Ahmad (dua dari kanan) ketika melawat pameran Hartanah MyRumah pada Majlis Pelancaran Siri Ketiga Pameran Hartanah MyRumah 2018 anjuran NSTP, semalam.
Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@nstp.com.my

Johor Bahru: The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) komited mengekalkan siri ketiga MyRumah 2018 di Johor Bahru sebagai yang terbaik seperti tahun penganjuran sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abd Jalil Hamid berkata, siri MyRumah di Johor Bahru secara tradisinya adalah siri terbaik dengan jumlah pengunjung dan nilai jualan yang memberangsangkan.

Katanya, tahun ini, NSTP menyasarkan peningkatan terutama dari segi jumlah pengunjung iaitu kira-kira 20,000 sepanjang tiga hari pameran berlangsung bermula semalam hingga Ahad.

“Tahun lalu, MyRumah Johor Bahru menarik lebih 15,000 pengunjung yang meneliti projek perumahan daripada 17 pempamer.

“Sejumlah 37 unit rumah dengan nilai keseluruhannya lebih RM16 juta sudah bertukar tangan di sini, tahun lalu,” katanya berucap pada majlis pelancaran MyRumah 2018 di Komtar JBCC, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan wakil Menteri Besar Johor iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Divisyen Hartanah Johor Corporation (Jcorp), Lukman Abu Bakar dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew.


PENGUNJUNG melihat kediaman pada Pameran Hartanah MyRumah 2018.

Abd Jalil berkata, tahun ini NSTP menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung berikutan pelbagai tarikan termasuk barisan penceramah hartanah terkemuka, aktiviti menarik serta pelbagai diskaun dan hadiah untuk dimenangi pengunjung.

“Saya meminta orang ramai untuk datang dan meninjau dengan lebih terperinci setiap projek perumahan yang kami bawakan,” katanya.

Pameran buat kali ketiga berturut-turut di Komtar JBCC itu disertai tujuh pemaju dan empat syarikat bukan pemaju dengan lebih 500 unit kediaman ditawarkan untuk jualan.

Tujuh pemaju terbabit ialah Pulai Springs Resort Berhad, Bukit Pelali, Eco Tropics Sdn Bhd, Uda Land, Johor Land Berhad, Hua Yang Berhad dan Sunway Iskandar Sdn Bhd.

Empat pempamer bukan pemaju ialah Amanah Raya Berhad, Bank Muamalat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 4:38 AM