Muhammad Firdaus (kiri) dan Mohammad Soleh bersama-sama meninjau pakaian di sebuah kedai berhampiran hotel penginapan. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Tuan Asri Tuan Hussein

MENGERJAKAN ibadat haji pada usia muda turut memiliki cabaran tersendiri, apatah lagi apabila datang seorang diri tanpa ditemani sesiapa.

Itulah yang dialami dua jemaah haji yang masih muda dan datang ke tanah suci secara solo, Muhammad Firdaus Budiman, 22, berasal dari Johor dan Mohammad Soleh Md Radzai, 23, dari Melaka.

Muhammad Firdaus, penuntut tahun kedua jurusan perakaunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor berkata, biarpun berdebar-debar tapi hatinya amat teruja apabila menerima tawaran daripada TH untuk menunaikan haji tahun ini.

"Sepatutnya saya datang dalam penerbangan kelompok akhir iaitu pada awal Ogos tapi buat surat rayuan pada TH kerana ketika itu cuti semester sudah hampir tamat.

"Alhamdulillah, rayuan saya diterima dan nama tersenarai dalam penerbangan paling awal pada 14 Julai lalu," katanya ketika ditemui di Maktab 75, Hotel Abraj Al-Janadriyah, Makkah.

Muhammad Firdaus berkata, tawaran untuk menunaikan haji sebenarnya diterimanya lebih awal iaitu pada 2010 bersama ibu, ayah dan adik beradik lain tapi TH menasihatkan dia supaya menangguhkan kerana ketika itu baru berusia 14 tahun.

Menurutnya, apabila datang menunaikan haji secara solo, dia banyak mengharapkan sokongan moral daripada kawan-kawan, selain berbekalkan pengalaman mengerjakan umrah sebelum ini.

"Apabila tak ada keluarga ni kita kena banyak harapkan kawan-kawan. Alhamdulillah, kawan-kawan di sini terutama teman sebilik banyak menolong saya," katanya.

Mohammad Soleh pula berkata, dia dan Muhammad Firdaus datang menerusi penerbangan yang sama dan mula berkenalan apabila diletakkan di bilik bersebelahan ketika menginap di hotel di Madinah.

"Alhamdulillah, di Makkah kami ditempatkan dalam satu bilik bersama lima lagi jemaah solo tapi lebih berusia daripada kami, ada yang 30-an dan ada juga yang sudah melebihi 50 tahun," katanya.

Menurutnya, menunaikan haji pada usia muda bukankah satu kebetulan atau sekadar ketentuan takdir, sebaliknya ia hasil usaha yang dirancang sejak awal.

"Saya mula buka akaun di TH sejak masih kecil. Kini, apabila sudah bekerja, setiap bulan saya membuat simpanan dalam TH supaya dapat pergi haji awal," katanya yang bekerja dalam bidang perakaunan di syarikat swasta di Melaka.

Mohammad Soleh berkata, tawaran ke Tanah Suci sebenarnya diterima bersama empat adik beradik lain tapi masing-masing tidak dapat datang sebab ada komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

Dia turut bersyukur kerana mendapat teman sebilik yang memiliki sifat membimbing dan lebih menggembirakan seorang daripada mereka mampu mengendalikan 'majlis ta'alim' atau ceramah agama ringkas di bilik pada setiap malam.

"Alhamdulillah, biarpun majoriti teman sebilik lebih tua daripada saya dan Firdaus tapi kami boleh serasi kerana masing-masing jiwa muda dan pandai menyesuaikan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 1:42 PM