BAKAL jemaah haji bersiap sedia menunggu bas untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Hotel Tabung Haji sebelum berlepas ke tanah suci Makkah. Foto NSTP/KHAIRULL AZRY BIDIN.
Tuan Asri Tuan Hussein
cnews@nstp.com.my


BAKAL haji wanita diingatkan tidak terburu-buru mengambil ubat menahan atau melambatkan kedatangan haid dengan anggapan ia jalan penyelesaian mutlak untuk mereka menyempurnakan ibadat haji.

Tanpa ilmu dan pemahaman mendalam mengenai beberapa perkara penting, bukan saja objektif mereka mengambil ubat menahan haid itu tidak tercapai, malah ibadat mereka sepanjang berada di Tanah Suci juga boleh terjejas.

Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci Tabung Haji (TH) Yusnah Yusuf, berkata mengikut hukum fikah, pengambilan ubat ubatan untuk menahan atau mengatur kitaran haid adalah harus.

“Bagaimanapun, ramai jemaah datang jumpa saya beritahu ubat atau pil yang mereka ambil tidak berkesan dan ramai juga yang tidak faham beberapa perkara penting sebelum mereka mengambil ubat itu.

“Ramai yang memberitahu mereka mengambil ubat dengan tujuan menahan haid ketika berwukuf. Ini sebenarnya satu kesilapan," katanya ketika ditemui di Makkah.

Sedangkan, kata beliau, persoalan yang lebih penting jika seseorang jemaah wanita ingin mengambil ubat menahan haid ialah berapa lama kitaran haid mereka dan bila tarikh penerbangan pulang ke tanah air.

“Perkara yang sangat penting sebenarnya ialah bila tarikh pulang ke Malaysia sebab ada kemungkinan dia tak dapat selesaikan tawaf yang menjadi rukun haji, bukan masalah wukuf," katanya.


YUSNAH Yusuf

Yusnah berkata, tidak timbul masalah untuk jemaah wanita di dalam haid berwukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar jamrah pada hari-hari tasyrik.

Menurutnya, satu-satunya ibadat yang menjadi larangan kepada wanita kedatangan haid ialah melakukan tawaf.

"Biarpun dalam haid, jemaah itu boleh melakukan rukun-rukun haji yang lain terlebih dahulu dan kemudian menunggu waktu suci sebelum melakukan tawaf," katanya.

Menurutnya, apa yang menjadi masalah, jika jemaah itu datang haid selepas hari tasyrik dan tarikh penerbangan pulang hanya dua atau tiga hari selepas itu.

“Masalah timbul kerana dia tidak boleh menunaikan tawaf kerana masih di dalam haid. Dalam situasi begini, bolehlah dia berjumpa doktor untuk dapatkan nasihat termasuk kemungkinan mengambil ubat bagi melambat kedatangan haid," katanya.

Yusnah juga menasihatkan jemaah wanita yang mengalami masalah haid supaya menjaga akidah mereka dan jangan menganggap ia penghalang untuk mendapat haji yang mabrur.

“Jangan kita sedih dan marah. Jangan lupa qada' dan qadar. Bersabar ketika haid mungkin lebih besar pahalanya. Jangan kita ambil kuasa Allah.

“Banyak lagi pahala yang kita boleh dapat melalui amalan lain untuk mendapat haji mabrur. Yang penting, ilmu dan keyakinan kepada Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 1:20 PM