LEMBU yang dicuri dimasukkan ke dalam (MPV) Naza Citra yang dinaiki empat individu di Kampung Beris Panchor, Tawang. Foto NSTP/IHSAN PEMBACA
Rosliza Mohamed
cnews@nstp.com.my


POLIS meminta kerjasama penduduk kampung di daerah Bachok, khususnya yang kehilangan dua lembu tiga hari lalu supaya tampil membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, lembu itu masih berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok selepas dirampas dari kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) Naza Citra yang dinaiki empat individu di Kampung Beris Panchor, Tawang, Bachok, Selasa lalu

Katanya, sejak kejadian itu lembu berkenaan masih lagi belum dituntut oleh pemiliknya.

"Kita meminta kerjasama pemilik haiwan itu datang membuat laporan dulu, sebelum mengenal pasti dua ekor lembu terbabit.

"Setakat ini kita belum menerima sebarang laporan kehilangan haiwan itu daripada penduduk kampung," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis menahan empat individu termasuk seorang wanita selepas membawa dua lembu di dalam sebuah kenderaan di Kampung Beris Panchor, Tawang.

Empat suspek terbabit berusia antara 27 hingga 45 tahun ditahan sepasukan anggota polis yang menjalankan tugas ronda cegah jenayah di sekitar kampung terbabit pada 2.30 pagi.

Polis turut menemui peralatan menyumpit dan ubat pelali dipercayai digunakan terhadap haiwan terbabit sebelum mengangkutnya ke dalam kenderaan.

Mengulas lanjut, Nik Aminuddin berkata suspek direman selama empat hari sejak Selasa lalu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 12:35 PM