OPERASI imigresen letak sasaran kepada pusat jualan makanan dan minuman.
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my

Georgetown: Seramai 34 pekerja asing ditahan anggota Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIPP) dalam operasi yang menyasarkan beberapa premis jualan makanan dan minuman di sekitar negeri ini di sini, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Izham Idris berkata, operasi bermula jam 9 malam itu membabitkan 21 anggota penguat kuasa yang menyerbu beberapa premis jualan di Bukit Mertajam, Bukit Bendera dan Persiaran Gurney.

Katanya, bertindak melalui intipan dan maklumat awam berhubung masalah pendatang tanpa izin (PATI), pihaknya memeriksa 75 warga asing yang bekerja di premis berkenaan.

“Dalam operasi ini kita menggempur 27 lokasi dan memeriksa 75 warga asing dari pelbagai negara.

“Daripada 75 yang diperiksa, kita menahan 34 individu untuk pemeriksaan lanjut kerana tidak mempunyai pas atau permit sah untuk bekerja di negara ini,” katanya.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, Syria, Myanmar, Yaman dan India.


ANGGOTA imigresen menahan warga asing untuk pemeriksaan di premis makanan kompleks beli-belah di Jalan Kelawai.

Izham berkata, semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kita turut mengeluarkan saman kepada majikan yang menggaji pekerja asing tanpa memiliki permit sah dalam operasi itu.

“Kita memandang serius isu warga asing yang berada di negara ini dan sentiasa melipatgandakan usaha untuk membasmi masalah itu demi keselamatan masyarakat,” katanya.

Orang awam juga diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui lokasi keberadaan warga asing yang datang ke negara ini tanpa mempunyai pas perjalanan sah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 11:17 AM