Nadia Hamid
nnadia@nstp.com.my


PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan simpati atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, hari ini.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut berkongsi kesedihan dengan menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham Shaharuddin.

“Semoga rohnya (Shaharuddin) dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan.

Shaharuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan Dan Pembangunan Modal Insan dilaporkan tenat Isnin lalu, kerana kanser kolon.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya pada jam 6.28 petang hari ini.

Difahamkan, jenazah Shaharuddin dibawa pulang ke Desa Pinggiran Putra, Kajang selepas solat Maghrib.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis, pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 9:48 PM