SHAFIE (kiri) mengiringi Law (dua dari kiri) bersalaman dengan penerima anugerah di Majlis Penzahiran Anugerah Perkhidmatan Pengakap Negeri Pulau Pinang dan Penyampaian Sijil Pengakap Raja Sempena Hari Pengakap Sedunia 2018 di Perai, Bukit Mertajam, semalam. FOTO Ramdzan Masiam.
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


USIA 90 tahun tidak menjadi penghalang kepada Mantan Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Datuk Khoo Yeoh Gan Hong bagi meneruskan bakti kepada masyarakat menerusi penyertaannya bersama Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang.

Paling bermakna apabila Khoo terpilih sebagai penerima Anugerah Bintang Kesetiaan Mutiara berikutan jasa dan kesetiaannya bersama pasukan berkenaan yang disertai selama 77 tahun.

Khoo berkata, dia mula menyertai pasukan pengakap di sekolah ketika berusia 13 tahun dan ‘jatuh cinta’ dengan prinsip diterapkan dalam kalangan ahlinya iaitu berbakti kepada masyarakat.

Beliau berkata, banyak kenangan manis menjadi pengalaman berharga serta panduan dalam kehidupan dan anugerah berkenaan diharap dapat menjadi inspirasi kepada ahlinya.

“Antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah ketika mahu menyertai jambori pengakap di Australia pada 1948 tanpa wang dan pasport.

“Pelbagai suka duka dan ketika itulah saya dapat lihat sikap murni rakan pengakap menghulur tangan membantu menjalani ikhtiar hidup sehingga saya dapat menyertai jambori itu.

“Saya menyeru golongan muda supaya menyertai pasukan beruniform digemari dan mengambil setiap peluang serta cabaran itu sebagai pengalaman hidup amat berharga,” katanya.

Bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Georgetown, Batu Lancang, itu antara 10 penerima anugerah terbabit di Majlis Penzahiran Anugerah Perkhidmatan Pengakap Negeri Pulau Pinang dan Penyampaian Sijil Pengakap Raja Sempena Hari Pengakap Sedunia 2018 di Hotel Ixora, Perai.

Anugerah disampaikan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang.

Hadir sama, Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr Mohd Shafie Mohd Salleh.

Pada majlis itu, seramai enam ahli menerima Anugerah Pingat Gemilang Mutiara, Pingat Cemerlang Mutiara (lapan), Pingat Kepujian Mutiara (12) dan Anugerah Pengakap Raja (57).

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, dia amat berbesar hati dengan perkembangan pengakap di Pulau Pinang yang mencecah 13,000 ahli sehingga Julai lalu.

Beliau berkata, perkembangan lanjut ialah Pengakap Lebah yang membabitkan kanak-kanak pra-sekolah akan dilancarkan tidak lama lagi sejak diperkenalkan beberapa tahun lalu di beberapa negeri.

“Usaha memperkemaskannya kini di peringkat akhir dan ia menunjukkan perkembangan sangat menggalakkan apabila kanak-kanak diberi pendedahan awal aktiviti pengakap.

“Kami mengalu-alukan penyertaan lebih ramai orang kurang upaya (OKU) dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang sudah diperkenalkan sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 8:55 PM