SHAHIDAN (tengah) diiringi anggota SPRM selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima dan meminta rasuah sebanyak RM4,500. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Petah Wazzan Iskandar
wazzan@nstp.com.my


BEKAS Komandan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Sempadan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM4,500, empat tahun lalu.

Shahidan Ladin, 63, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan membabitkan aktiviti penjualan dan penyeludupan minyak dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, Shahidan didakwa menerima rasuah daripada Saleh@Md Zamri Md Saman sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana kesalahan aktiviti penjualan dan penyeludupan minyak petrol serta diesel dari sempadan Malaysia ke Thailand.

Bagi pertuduhan pertama, Shahidan didakwa menerima RM1,500 di tapak gudang haram Kampung Remia Manis, Durian Burung, pada 1.52 tengah hari 24 September 2014.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima RM1,500 di lokasi sama pada 11.52 pagi 23 Oktober 2014 dan pertuduhan ketiga, tertuduh menerima RM1,500 di pekarangan Hospital Kuala Nerang, pada 1.05 tengah hari 28 November 2014.

Shahidan didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan terbabit mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar manakala Shahidan tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan mengurangkan jumlah ikat jaminnya, Shahidan yang sudah bersara menjelaskan perlu menanggung dua isteri yang masing-masing mengalami kanser pangkal rahim, darah tinggi dan kencing manis selain turut menanggung tiga anak dan menantu serta tujuh cucu.

Mahkamah kemudian membenarkan Shahidan diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 September depan untuk serahan dokumen dan melantik peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 1:49 PM
Skip this ad x