Gambar menunjukkan pendaki berkhemah di rabung Gunung Rinjani, selepas terperangkap akibat gempa bumi, Ahad lalu. AFP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


EMPAT belas pendaki Malaysia termasuk enam yang cedera akibat gempa bumi di Lombok, Indonesia dijangka berlepas pulang ke tanah air pada jam 12.15 tengah hari ini.

Pendaki, Haziq Wafiy Mohd Azman, 26, berkata, kumpulannya itu kini sudah dibenarkan pulang selepas semua proses dokumentasi selesai.

“Kami dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 3.30 petang ini.

“Semalam tiga individu sudah pulang ke Malaysia kerana mempunyai kecemasan” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, seorang pendaki rakyat Malaysia maut, manakala enam yang lain cedera akibat gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok.

Gempa dengan kekuatan 6.4 magnitud itu turut menyebabkan kerosakan di kawasan sekitar dan banyak laluan terputus.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa tersebut terjadi pada 5.47 pagi dan berpusat 28 kilometer (km) barat laut Lombok Timur pada kedalaman 10 km.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Menurut laporan BMKG, 31 gegaran susulan selepas gempa pertama itu sehingga jam 7.39 pagi semalam.

Gegaran susulan gempa itu di bawah magnitud 5

Gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok yang popular dalam kalangan pelancong dan pendaki juga ditutup buat sementara waktu kerana tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 11:33 AM