TINJAUAN Harian Metro terhadap warga asing yang bekerja di premis perniagaan di sekitar Greenwood, Gombak.
HM Digital

Kuala Lumpur: “Warga asing hanya diambil sebagai pekerja dan penjaga kedai saja, tidak ada dalam laporan atau maklumat kami bahawa mereka adalah pemilik kedai atau perusahaan perabot seperti yang didakwa.”

Itu reaksi Presiden Persatuan Pengusaha Kayu Kayan dan Perabot Bumiputera Malaysia (PEKA) Hanafee Yusoff berhubung dakwaan segelintir pihak bahawa perusahaan perabot kini dikuasai oleh warga asing terutama dari Bangladesh dan Pakistan.

Katanya, warga asing hanya diambil bekerja kerana kebanyakan orang tempatan tidak mahu berikutan pelbagai faktor terutama penawaran gaji yang rendah.

“Warga asing ini tidak kira dari Bangladesh, Pakistan atau mana-mana negara sekali pun hanya berstatus pekerja atau penjaga kedai saja.

“Mereka bukan pemilik seperti yang didakwa. Pemilik perusahaan ini masih dimiliki oleh rakyat kita. Ini adalah data daripada persatuan dan juga agensi berkaitan,” katanya.

Hanafee berkata, pihak tertentu yang mendakwa perusahaan perabot dikuasai oleh warga asing perlu mendapat maklumat yang lebih jelas dan bukannya berdasarkan pemerhatian saja.

“Mungkin kalau berdasarkan pemerhatian saja kita akan lihat perusahaan ini dikuasai oleh warga asing sedangkan mereka hanya pekerja yang makan gaji.

“Pemiliknya sudah pasti rakyat kita tidak kira bangsa. Ada pemilik Melayu, Cina dan India. Jadi, jika benar ada perusahaan milik warga asing yang haram, mereka perlu dilaporkan kepada agensi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa kedai perabot di Jalan Genting-Klang, Mutiara Damansara, Seksyen 7 dan 23 Shah Alam mendapati warga asing terbabit mengaku berstatus pekerja manakala pemilik kedai masih rakyat tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 10:59 AM