KEADAAN banjir di beberapa kawasan di Taman Tunku, Miri. FOTO Ihsan Bomba
Kandau Sidi
kandau@nstp.com.my


HUJAN lebat sejak malam tadi mengakibatkan tiga kawasan perumahan dan penempatan penduduk di bandaraya Miri, utara Sarawak, dilanda banjir kilat.

Kawasan itu ialah perumahan Taman Tunku dan penempatan penduduk di Lepong Ajai dan Kampung Pujut Padang Kerbau.

Hujan berterusan itu turut mengakibatkan berlaku kejadian tanah runtuh di Kampung Mei Min Batu 6, Jalan Miri-Bintulu.

Bagaimana pun, kejadian tanah runtuh itu terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan penduduk, namun mereka dinasihatkan mengambil langkah berwaspada.

Penduduk Taman Tunku, Suhaini Jamain, 34, berkata, hujan lebat berlaku 11 malam dan berlarutan sehingga 6 pagi menyebabkan kawasan rendah di kawasan perumahan itu ditenggelami air.

“Kebanyakan laluan utama menuju ke rumah kami ditenggelami banjir sedalam satu meter. Ramai ibu bapa sukar menghantar anak ke sekolah kerana paras air masih tinggi awal pagi tadi,” katanya.

Suhaini berkata, hanya kenderaan pacuan empat roda mampu melalui kawasan banjir menuju ke pusat bandar.

Katanya, cuaca mula kembali cerah pada 7 pagi dan dijangkakan banjir kilat itu akan reda apabila hujan sudah berhenti.

Ranggi Gering, 66, berkata, pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Bandaraya Miri (MBM) perlu memastikan sistem saliran di kawasan yang kerap berlaku banjir kilat diurus dengan baik.

“Sebelum ini sebanyak RM1.5 juta diumumkan untuk menaik taraf sistem perparitan di Taman Tunku. Namun, sekarang banjir kilat masih berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin, Datuk Lee Kim Shin berkata, masalah banjir kilat di Taman Tunku perlu diatasi segera kerana ia menimbulkan masalah kepada penduduk tempatan.

“Setiap kali hujan lebat mereka bimbang rumah dan harta benda akan ditenggelami banjir. Justeru kita minta kerajaan baru membantu menyelesaikan masalah ini dengan menyediakan peruntukan menaik taraf sistem saliran sedia ada, “ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 9:37 AM