Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


“SAYA penyandang. Saya tidak bertanding menentang sesiapa,” kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu membayangkan beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Beliau menjawab demikian ditanya berikutan keputusan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengesahkan bakal merebut jawatan nombor dua parti itu.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, turut menegaskan tidak wujud kem dalam parti itu dan apa yang diperkatakan hanyalah ‘tanggapan pihak tidak bertanggungjawab’.

Kenyataan itu bertentangan dengan pengakuan beberapa pimpinan PKR sebelum ini yang mengakui wujud beberapa kem dalam parti itu menjelang penamaan calon dan pemilihan PKR, bulan depan.

“Tidak ada kem. Itu tanggapan mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Semua ahli parti adalah keluarga besar PKR yang mempunyai cita-cita dan hasrat memperkukuhkan parti,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR antaranya Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Whip, Datuk Johari Abdul mengesahkan wujud beberapa kem dalaman menjelang pemilihan parti.

Ahad lalu, Rafizi mengumumkan pimpinan berada dalam pasukannya yang digelar Reformasi 20 Tahun.

Antara pimpinan yang berada dalam kumpulan Rafizi adalah Johari dan Naib Presiden yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Mohamed Azmin berkata, fokusnya kini ialah terhadap gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

“Begitu juga perbahasan dalam Parlimen kerana itu tanggungjawab saya sebagai menteri dan Timbalan Presiden parti bagi memastikan calon kita menang dengan majoriti lebih besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 12:49 AM