Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@nstp.com.my

PERKAHWINAN kanak-kanak berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan baru-baru ini menjadi perdebatan pada sesi penggulungan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluar dan Masyarakat, petang ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagai berdialog dengan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-UMNO Pengerang) apabila kedua-duanya saling berbalas hujah berkenaan isu terbabit.

Awalnya, Azalina bertanya sama ada kerajaan boleh mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kepada lelaki yang mengahwini gadis berkenaan.

“Saya faham isu ini memerlukan bukti dan sebagainya tetapi kes kanak-kanak ini berbeza.

“Itulah sebabnya kita ada peraturan khusus kesalahan rogol dalam Kanun Kesiksaan kerana apabila kanak-kanak memberi keizinan, ia tidak sama dengan keizinan diberikan orang dewasa.

“Dalam kes rogol, bukti bukan pada kanak-kanak tetapi dalam kes ini, ia membabitkan gadis berusia 11 tahun itu.

“Sekiranya berlaku kesalahan jenayah, kerajaan sebelum ini mewujudkan Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana kerajaan sebelum ini tahu undang-undang melindungi kanak-kanak perlu diperkukuhkan, maka ia diluluskan dalam sidang Parlimen sebelum ini.

“Jadi, mengapa kita tidak boleh menjadi kreatif untuk membantu kanak-kanak ini,” soalnya.

Dr Wan Azizah yang juga Pembangunan Wanita, Keluar dan Masyarakat berkata, kementerian belum bersedia menggunakan Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 bagi menangani kes berkenaan atas nasihat Pejabat Peguam Negara.

Namun demikian, katanya, kerajaan tetap komited menangani isu berkenaan dan ia perlu dilakukan secara berhemah.

“Pejabat Peguam Negara minta kita mencari bukti kukuh untuk menjadikan kes ini betul-betul kes baharu dan ini menjadi cabaran. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyifatkan keluarganya sempurna.

“Ia satu kes yang sudah terlepas, jika tidak dimuat naik di Facebook oleh isteri kedua, kita semua tidak tahu. Apabila diteliti kes ini, ia agak kompleks. Malah masalah ini tiada aduan dibuat.

“Saya berjumpa dengan mereka terbabit terutama majlis agama Islam negeri, pegawai kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Maka persoalan ini menjadi ujian bagaimana nak dikendalikan. Kanak-kanak ini dari Thailand, lelaki itu dari Malaysia.

“Kita ada perhubungan antara dua negara, kita kena ambil kira banyak aspek dan tangani secara berhemah dan berhikmah,” katanya

Kurang berpuas hati dengan jawapan itu, Azalina kemudian meminta kerajaan supaya lebih profesional mengendalikan kes seumpama itu.

“Kerajaan baharu, harapan baharu. Tolonglah bertindak dengan sewajarnya. Saya rasa tak profesional kalau asyik menyalahkan kerajaan lama.

“Tidak apalah Menteri, kalau tak boleh jawab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 12:06 AM