Zaid Salim
cnews@nstp.com.my


JABATAN Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melupuskan empat tan kiub abu bahan dan teks al-Quran di perairan Pulau Kapas, hari ini.

Proses pelupusan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah di kedalaman 16.7 meter di perairan Pulau Kapas, kira-kira sembilan batu nautika dari muara Kuala Terengganu, pada 10 pagi.

Mohd Nor berkata, proses pelupusan dalam bentuk kiub itu kali ketiga selepas diperkenalkan pada 2016.

Beliau berkata, proses pelupusan risalah dan bahan mengandungi ayat suci al-Quran itu dilakukan sejak 2012 dengan menggunakan kaedah biasa iaitu dalam bentuk debu.

“Bagaimanapun, bermula Mac 2016, Bahagian Penyelidikan JHEAT memperkenalkan satu inovasi menukarkan abu al-Quran kepada bentuk kiub lanjutan daripada masalah abu berterbangan ketika proses pelupusan ke laut sebelum ini.

“Pada hari ini, kami melupuskan sebanyak 400 kiub atau empat tan membabitkan 10,000 naskah al-Quran termasuk risalah dan bahan mengandungi ayat suci al-Quran yang setiap satu seberat 10 kilogram,” katanya pada sidang media di Ombak Chalet Pulau Kapas, Marang.

Beliau berkata, sejak 2012, kerajaan negeri sudah melupuskan 103.4 tan bahan dan teks al-Quran yang dikumpul di seluruh negeri.

Katanya, aktiviti pelupusan dilakukan mengikut garis panduan ditetapkan oleh keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali ke 6/2000, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-30/1992 dan mematuhi Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

“Bahan dan teks al-Quran dilupuskan dikumpul dari seluruh negeri termasuk dikumpul menerusi program Kempen Save Al-Quran Lama anjuran Biro Amal Peluk Quran Yayasan Pendidikan Qasimul Ulum pada Mei 2017 lalu.

“Baki semasa bahan dan teks al-Quran sehingga Jun 2018 yang terkumpul belum dijadikan kiub adalah 2.2 tan dan akan dilupuskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini memperkenalkan kaedah ‘dropbox’ sebagai langkah memudahkan orang ramai menyerahkan bahan, risalah dan teks al-Quran lama yang mahu dilupuskan di setiap masjid.

Katanya, sebagai permulaan, ‘dropbox’ itu diletakkan di Masjid Sultan Zainal Abidin (Masjid Negeri), Kuala Terengganu dan ia diuruskan pengurusan masjid berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 6:00 PM
MOHD Nor (dua dari kiri) melakukan proses pelupusan kiub abu al-Quran ke laut di perairan Pulau Kapas, Marang, hari ini. FOTO Ghazali Kori.