VIDEO penghuni pukul dua suspek tular di media sosial sejak semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan dua lelaki mabuk membuat bising dan memukul pasangan suami isteri mengundang padah apabila mereka dikejar sebelum dibelasah orang ramai.

Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, suspek didakwa dibelasah penghuni Rumah Panjang Jinjang Utara di sini, yang geram dengan perbuatan mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, R Munusamy berkata, kejadian berlaku apabila seorang wanita berusia 26 tahun bersama suaminya, 20-an menaiki dua motosikal berasingan melalui kawasan itu untuk mengambil dua anak mereka di rumah ibu saudara.

Menurutnya, mangsa terserempak sekumpulan lelaki mabuk dan dua lagi individu menaiki motosikal serta membuat bising di kawasan permainan berhampiran.

“Kedua-dua lelaki itu membuat provokasi terhadap mangsa dengan membunyikan ekzos bingit menggunakan motosikal Yamaha 125Z ditunggang.

“Mangsa kemudian menegur suspek, namun dihambur kata-kata kesat sebelum berlaku pertengkaran.

“Seorang daripada suspek menyerang mangsa wanita dengan menumbuk dan menendangnya di bahagian tangan kanan serta kaki kiri.

“Suami mangsa cuba menyelamatkannya daripada terus diserang, namun dua lelaki terbabit terus memukulnya,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek terbabit kemudian melarikan diri ke bahagian belakang kawasan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Jinjang Utara.

“Mereka bagaimanapun dikejar dan dipukul penghuni perumahan berkenaan kerana tidak puas hati dengan tindakan dua suspek terbabit memukul mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan menggunakan senjata,” katanya.

Kejadian suspek dipukul turut tular di media sosial apabila video penghuni memukul suspek dikongsi di Facebook, semalam.

Dalam video berkenaan menunjukkan seorang lelaki dipukul sekumpulan lelaki yang dipercayai bersenjatakan kayu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 11:45 AM