SUZALINUR menunjukkan jerat dawai yang ditemui di Koridor Hidupan Liar Sungai Yu.
Mohd Rafi Mamat
cnews@nstp.com.my

Lipis: Sukarelawan Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MyCat) menemui 150 jerat dawai ketika melakukan program memusnahkan jerat di kawasan hutan Koridor Hidupan Liar Sungai Yu, di sini.

Pegawai Projek Kanannya, Suzalinur Manja berkata, pihaknya merekodkan penemuan itu sejak lapan tahun lalu dan percaya jerat itu dipasang pemburu haram untuk menangkap harimau belang.

Katanya, haiwan dilindungi itu mendapat permintaan tinggi daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Setiap bulan antara tujuh ke 10, sukarelawan MyCat ke Hutan Yu, Hutan Simpan Tanum dan Hutan Simpan Hulu Jelai yang berada dalam koridor hidupan liar Sungai Yu bagi mengesan dan membuang jerat dawai.

“Jerat ini digunakan untuk menangkap harimau belang dipasang sepanjang denai atau laluan hidupan itu tanpa umpan kerana boleh diperangkap apabila dipijak.

“Siasatan kami mendapati kegiatan haram ini dilakukan penduduk setempat termasuk masyarakat Orang Asli yang semakin aktif terutama apabila projek Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dibangunkan,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Menanam Pokok Balak dan Nadir di Hutan Sungai Yu anjuran MyCat dengan kerjasama Pejabat Hutan Daerah Lipis, di sini, semalam.

Suzalinur berkata, jerat dawai turut digunakan untuk menangkap haiwan bersaiz besar seperti rusa, beruang, pelanduk dan babi hutan.

Katanya, bulan lalu, pihaknya menemui enam jerat dawai di beberapa lokasi yang menjadi laluan haiwan liar dan kegiatan pemasangannya menjadi lebih aktif setiap kali musim perayaan.

Beliau berkata, sejak 2010, pihaknya sudah menjalankan program memusnahkan jerat dan turut menemui jaring serta racik yang digunakan untuk menangkap burung.

“Kita kini bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang untuk program memusnahkan jerat ini dan mempelawa sesiapa yang berminat untuk turut sama,” katanya yang menyifatkan jerat dawai sebagai musuh utama haiwan liar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 11:11 AM