ANGGOTA SAR mengangkat mayat Efendy yang dijumpai pada jarak 600 meter dari lokasi terakhir mangsa disambar buaya di Kampung Baru Seberang Mission, Lawas, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Oleh Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


MAYAT lelaki yang disyaki disambar buaya di sungai berdekatan Kampung Baru Seberang Mission, Lawas, semalam, ditemui, hari ini.

Mayat mangsa, Efendy Panil, 45, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 6.40 pagi hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kaedah pencarian di permukaan itu menemui mayat mangsa di kedudukan kira-kira 600 meter dari lokasi dia dikatakan disambar reptilia terbabit.

“Tubuh mangsa masih sempurna, cuma terdapat kesan calar di muka dan bahu sebelah kanan dipercayai akibat serangan buaya.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian 11.45 pagi semalam, mangsa dikatakan disambar reptilia itu ketika cuba mengambil air di tebing sungai.

Anak saudara mangsa, Olifvia Sulai, yang menyaksikan kejadian itu berkata, sebaik disambar, mangsa terus diheret buaya itu ke dalam sungai.

Olifvia kemudiannya memanggil ibunya dan memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung sebelum mereka menghubungi bomba pada 12.16 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 4:45 PM