HALIDON Samsuri, 53 diiringi pegawai polis, mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual terhadap murid perempuan berusia 10 tahun pada Mei yang lalu selepas prosiding di Mahkamah Majistret Ampang. FOTO Hafiz Sohaimi
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


GURU penolong kanan kokurikulum di sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan Tahun Empat, dua bulan lalu.

Halidon Samsuri, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga mengajar subjek Seni Visual itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa yang berusia 10 tahun sebulan di bilik kokurikulum di sekolah terbabit pada 10.11 pagi, 25 Mei lalu.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie tidak mencadangkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Dony Abdullah yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya seorang guru yang menjadi pendidik selama 23 tahun.

"Tertuduh mempunyai tanggung keluarga iaitu seorang isteri yang juga guru dan seorang anak lelaki berusia 25 tahun," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali selain dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 2:57 PM