ANGGOTA bomba mengalihkan pokok besar yang tumbang menyebabkan dua kenderaan rosak di tepi Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi.
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


SUASANA tenang pagi hari ini hampir bertukar tragedi buat Ricardo Yap dan isterinya apabila kereta mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, Kuching.

Ricardo, 50, berkata mereka bernasib baik kerana pokok jelutong sebesar dua pemeluk dengan ketinggian 30 meter itu tersangkut pada kabel elektrik sebelum dahannya menghempap kereta mereka.

Beliau berkata, isterinya yang memandu kereta masih trauma dengan kejadian pada 7 pagi itu.

“Kami hanya mampu menjerit melihat pokok besar itu tiba-tiba tumbang dan kebetulan menghala ke arah kami.

“Isteri saya cuba mengelak, namun dahan yang besar terkena bahagian depan kereta kami,” katanya.

Ricardo berkata, ketika kejadian itu cuaca baik dan tidak berangin menyebabkan dia hairan apabila pokok itu tiba-tiba tumbang.

Beliau berkata, sebuah van di laluan bertentangan turut mengalami kerosakan akibat dihempap pokok berkenaan dan pemandu serta penumpangnya bernasib baik apabila selamat dalam kejadian itu.

“Van itu terkena bahagian batang pokok berkenaan dan memang ajaib apabila semua yang ada dalam van itu selamat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai pada 7.15 pagi.

Beliau berkata, 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan BBP Padungan dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi didapati sebatang pokok besar di bahu jalan tumbang dan melintang jalan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Dua kenderaan rosak, namun tiada mangsa tersepit atau cedera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 12:10 PM