KUMPULAN pendaki yang berjaya menawan Gunung Rinjani sebelum kejadian gempa bumi. FOTO Ihsan Pendaki Malaysia
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


KUMPULAN 18 pendaki Malaysia yang masih berada di Lombok, Indonesia kini sedang menunggu pegawai kedutaan untuk proses pulang ke negara ini dan membawa pulang jenazah.

Seorang daripada pendaki, Haziq Wafiy Mohd Azman, 26 berkata, pihak Imigresen Indonesia juga sudah menghubungi kumpulan berkenaan bagi mendapatkan maklumat berhubung kehilangan pasport.

"Mangsa yang cedera masih berada di Hospital Daerah manakala pendaki yang terselamat kini berada di hotel di Mentaram kira-kira 70 kilometer (km) dari gunung.

"Jenazah Allahyarham Siti Ismawida Ismail sudah dimandikan dan ditempatkan di Hospital Daerah sebelum di bawa pulang," katanya.

Haziq berkata, pihaknya kini sedang menunggu kedutaan untuk proses membawa pulang pendaki yang terselamat.

"Setakat ini bagi kumpulan kami, kami sedang tunggu pegawai kedutaan datang dan baru boleh tahu bila kami dapat pulang.

"Keadaan di kawasan hotel ini tenang dan tiada sebarang gegaran susulan," katanya.

Semalam, seorang pendaki rakyat Malaysia maut manakala enam yang lain cedera akibat gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok.

Gempa dengan kekuatan 6.4 magnitud itu turut menyebabkan kerosakan di kawasan sekitar dan banyak laluan terputus.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa terbabit terjadi pada 5.47 pagi dan berpusat 28 km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km.

Tiada amaran Tsunami dikeluarkan.

Menurut laporan BMKG, berlaku 31 gegaran susulan selepas gempa pertama itu sehingga 7.39 pagi semalam.

Gegaran susulan gempa itu di bawah 5 Skala Richter.

Gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok yang popular dalam kalangan pelancong dan pendaki juga ditutup kerana dilaporkan berlaku kejadian tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:41 AM