MANSOR (kiri) meninjau keadaan rumah Noramizah (tengah). FOTO Sabaruddin Abd Ghani
Sabaruddin Abd Ghani
cnews@nstp.com.my


SEORANG ibu tunggal kini tersenyum gembira apabila rumah arwah suaminya yang daif dan tidak selamat diduduki di Kampung Tanjung Puteri, Kuala Ketil, Baling, bakal dibaik pulih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria yang simpati dengan nasib menimpa Noramizah Shafie, 42, menyalurkan bantuan membaik pulih rumah itu.

Rumah milik arwah suaminya, Isahak Yusoff yang meninggal dunia pada Februari lalu sudah tidak selamat didiami berikutan sebahagian besar strukturnya yang diperbuat daripada papan dan kayu rosak teruk dimakan anai-anai.

Noramizah berkata, dia dan anak bersyukur atas bantuan wakil rakyat berkenaan yang berusaha membaiki rumah pernah didiami mereka sekeluarga sebelum suaminya meninggal dunia akibat penyakit jantung, buah pinggang dan tekanan darah tinggi.

Menurutnya, semasa hayat, arwah suaminya cuma berkerja sebagai pemandu lori di sebuah kedai membuat makanan ringan di Kuala Ketil dan gaji yang diterima sekadar cukup menyara mereka sekeluarga.

“Pendapatan arwah (suami) memang tidak mampu untuk membaiki rumah lebih baik, apatah lagi membeli rumah kos rendah.

“Buat sementara, kerja baik pulih akan dibuat pada bahagian dinding dan bilik tidur yang reput dimakan anai-anai.

“Bangunan asal dirobohkan kerana ia boleh tumbang bila-bila masa tapi belum pasti sama ada ia akan dibina baru atau tidak,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong meroboh dan membaiki rumahnya, semalam.

Seramai 30 anggota Unit Amal PAS daerah Baling menyertai gerak kerja berkonsepkan komuniti itu yang bermula jam 8.30 pagi dengan meruntuhkan bangunan asal sebelum membaiki bangunan tambahan yang mengalami kerosakan bahagian dinding, bilik tidur dan atap yang bocor.

Difahamkan, bangunan asal sudah berusia hampir 50 tahun manakala bangunan tambahan dibina pada 2010 yang menempatkan bilik tidur, ruang tamu dan dapur kurang selesa didiami kerana ruang yang terlalu sempit.

Selepas kematian suami, Noramizah berkerja sebagai pembantu kedai makan di Kuala Ketil dengan gaji RM40 sehari, sekadar cukup-cukup untuk menyara hidup bersama dua anaknya, Nurifaumairah, 8, dan Muhammad Izwan Nashi, 5.

Disebabkan keadaan rumah itu yang tidak selamat, Noramizah menumpang di rumah kakak iparnya buat sementara waktu.

“Saya tidak bercadang untuk terus tinggal bersama kakak ipar kerana dia pun ada anak yang ramai,” katanya.

Sementara itu, Mansor berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling bersetuju menghulurkan sumbangan sebanyak RM6,000 untuk kerja membaik pulih rumah ibu tunggal berkenaan yang akan dilakukan bulan depan.

“Untuk membina rumah baru menggantikan yang dirobohkan itu, saya perlu menggunakan peruntukan wakil rakyat, tapi buat masa ini belum diterima lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 2:45 PM