GAMBAR hiasan
Shahrul Nizam Mohamad
cnews@nstp.com.my


ANGGOTA polis yang cedera selepas terkena tembakan ketika menyerah senjata api di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Padang Tengku, Lipis, 26 Julai lalu sudah sedar.

Koperal Khairul Azmi Bahar, 30, yang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lipis (HKL) akibat cedera paha kanan juga sudah boleh berjalan seperti biasa.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azri Akmar Ayob berkata, anggota itu hanya menunggu masa untuk dibenarkan pulang.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada doktor pakar yang merawat mangsa bila waktu sesuai untuk dibenarkan pulang termasuk kembali bertugas.

“Rakan setugasnya itu tidak ditahan kerja dan polis hanya mendapati kejadian itu hanya berpunca daripada kecuaian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

NSTP melaporkan mangsa terkena tembakan ketika rakan setugasnya melakukan pemeriksaan sama ada senjata api berkenaan mempunyai peluru atau tidak.

Secara tidak sengaja anggota itu tertarik picu senjata api berkenaan sebelum tertembak paha kanan mangsa.

Peluru berkenaan menembusi paha kanan mangsa sebelum terkena pintu Stor Senjata Api di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Padang Tengku.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan serius kerana tembakan itu tidak terkena urat saraf dan tulang.

Ketika kejadian terdapat dua lagi anggota bertugas namun anggota itu mengesahkan mangsa dan suspek tidak bergaduh sebaliknya mereka berbual dan senyum seperti biasa.

Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

Berita berkaitan

Tak sengaja terlepas tembakan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 2:30 PM