SEBAHAGIAN individu yang ditahan dalam operasi khas AADK di pusat karaoke di Hulu Langat, tengah malam tadi. Gambar kecil, dadah yang ditemui. FOTO ihsan AADK.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


SERAMAI 27 individu yang menjadikan pusat karaoke bagi melepaskan gian ketagihan dadah diserbu pasukan Pasukan Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) Ibu Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Khas di Hulu Langat, tengah malam tadi.

Dalam serbuan 12 tengah malam itu, 36 individu yang dipercayai pelanggan premis berkenaan diperiksa.

Jurucakap AADK berkata, ketika serbuan dijalankan pihak pengurusan premis berkenaan enggan membuka pintu sebelum pihaknya memecahkan pintu laluan utama bagi mengelakkan sebarang bukti dilupuskan.

“Pemeriksaan mendapati semua pengunjung pusat karaoke berkenaan sedang berhibur dan dalam keadaan khayal.

“Ujian saringan air kencing terhadap 27 individu didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Ketamin,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di setiap bilik di premis berkenaan menemui beberapa jenis dadah yang disorokkan termasuk penemuan dadah terbaru yang dikenali sebagai Mushroom.

“Dadah baru itu dijual dengan harga RM150 sebatang khas untuk pengunjung premis terbabit.

“Semua pengunjung premis yang positif dadah dibawa ke pejabat AADK daerah untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 11:16 PM