Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@nstp.com.my


SEORANG kakitangan Jabatan Perikanan Perlis direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah berjumlah RM4,000.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Sumber memberitahu, suspek berusia 48 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan di Kuala Sungai Baru pada 1.50 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, suspek meminta wang RM4,000 daripada seorang pemilik bot dan wang berjumlah RM2,000 sudah diberikan sebelum ini.

“Suspek adalah individu yang menguruskan hal berkaitan pelesenan. Suapan itu bertujuan untuk mempercepatkan proses pembaharuan lesen vesel pemilik bot berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, SPRM sudah membekukan empat akaun atas nama suspek dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan pembekuan akaun itu, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 5:46 PM