GAMBAR HIASAN
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap
cnews@nstp.com.my


PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Undang Syed Ali Al Jufri (DUSAJ) di Jelebu sudah memakai kasut hitam sejak enam tahun lalu hasil persetujuan pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Ibrahim Harun berkata, ibu bapa sendiri mengusulkan supaya semua pelajar sekolah berkenaan dibenarkan memakai kasut hitam.

Katanya, sebelum itu hanya pengawas, pembimbing rakan sebaya dan pengawas pusat sumber dibenarkan memakai kasut hitam.

“Kita menerima mandat daripada ibu bapa dan seterusnya memberi kebenaran pelajar memakai kasut hitam, namun tidak ada masalah jika pelajar masih mahu memakai kasut putih.

“Sebenarnya tidak perlu pun Menteri Pendidikan membuat pengumuman berkaitan pemakaian kasut kerana semuanya boleh dilaksanakan di peringkat sekolah menerusi mesyuarat PIBG.

“Kita bimbang apabila pengumuman dibuat, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kasut, sekali gus membebankan ibu bapa,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ibrahim berkata, ada beberapa sekolah lain di sekitar Jelebu yang sudah membenarkan murid berkasut hitam hasil usul ibu bapa dalam mesyuarat PIBG.

Katanya, pihak kementerian seharusnya memberi perhatian terhadap masalah lebih utama iaitu bebanan tugas guru yang semakin bertambah.

“Hari ini pun sudah banyak sekolah menetapkan pakaian seragam yang berbeza bagi membawa imej sekolah dan semua itu dibuat menerusi keputusan bersama ibu bapa dan pihak pentadbiran sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 5:10 PM