GAMBAR hiasan
Shahrul Nizam Mohamad
cnews@nstp.com.my


ANGGOTA polis yang cedera selepas terkena tembakan ketika menyerahkan senjata api di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Padang Tengku, petang semalam dilaporkan dalam keadaan stabil.

Mangsa, Koperal Khairul Azmi Bahar, 30, yang cedera di paha kanan masih mendapat rawatan di Hospital Kuala Lipis, di Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azri Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati mangsa terkena tembakan itu kira-kira jam 2.30 petang ketika rakan setugasnya melakukan pemeriksaan sama ada senjata api berkenaan mempunyai peluru atau tidak.

“Secara tidak sengaja anggota terbabit tertarik picu senjata api berkenaan sebelum tertembak paha kanan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Azri, peluru berkenaan menembusi paha kanan mangsa sebelum terkena pintu Stor Senjata Api di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Padang Tengku, dekat Lipis.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihak hospital juga mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan serius kerana tembakan itu tidak terkena urat saraf atau tulang.

“Ketika kejadian terdapat dua lagi anggota yang bertugas, namun anggota berkenaan mengesahkan mangsa dan suspek tidak bergaduh sebaliknya mereka berbual seperti biasa.

“Polis bagaimanapun masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 3:52 PM