PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Hafiz Sohaimi
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, pandangan peribadinya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak penting dan beliau perlu mematuhi rancangan penggantian yang sudah dipersetujui Pakatan Harapan (PH).

Dalam wawancara bersama CNN, pemimpin berusia 93 tahun itu berkata: “Saya perlu percayakannya - sama ada saya suka atau tidak. Saya tidak boleh berada di sini pada setiap masa.”

Perdana Menteri ketujuh yang memecat Anwar secara dramatik pada tahun 1998 sehingga mencetuskan gerakan reformasi itu berdamai dengan bekas timbalannya pada 2016 sebelum dua tokoh berkenaan bersatu menjatuhkan Barisan Nasional ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

Menerusi perjanjian dalam PH, Anwar akan menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Ketua Umum PKR itu kini sedang dalam persiapan bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan parti itu, bulan depan.

Dr Mahathir berkata akan kekal sebagai Perdana Menteri selama dua tahun namun sedia berkhidmat lebih daripada tempoh berkenaan jika dipersetujui rakan dalam gabungan PH.

“Jika syarat untuk kami (beliau dan Anwar) bekerja bersama adalah saya menjadi Perdana Menteri untuk dua atau tiga tahun, bagi saya itu tidak penting.

“Saya akan patuh kepada kehendak rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, menerusi temuramah bersama Al Jazeera Mei lalu, Anwar berkata, tidak mempunyai sebab untuk tidak mempercayai Dr Mahathir yang sudah membuktikan keberanian dan memudahkan pembebasannya.

Sementara itu, Perdana Menteri mendakwa mewarisi kerajaan yang penuh dengan rasuah dan pegawai yang tidak boleh dipercayai.

Beliau sudah melihat kerosakan dari luar, tetapi tidak pernah menjangka ia begitu teruk.

"Kebanyakan peringkat tertinggi dalam kerajaan juga korup. Namun saya perlu bekerja dengan mereka yang disyaki.

"Ia sukar kerana jika anda tidak bekerja dengan mereka yang boleh dipercayai, anda tidak tahu sama ada apa yang anda mahu mereka lakukan, akan dilakukan atau tidak," katanya.

Untuk rekod, Malaysia kini berada di tangga ke 62 daripada 180 negara dalam indeks rasuah yang dikeluarkan oleh badan ketelusan antarabangsa, Transparency International (TI) tahun 2017.

Prestasi itu dianggap yang terburuk sejak lima tahun lalu dan pada 2016, Malaysia berada di tangga ke-55 daripada 176 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 11:10 PM