VEERAPAN (tengah) bersama Ain Arjuna (kanan) memeriksa jam yang digunakan untuk menyukat ketepatan masa ketika mengadakan tinjauan di sebuah pusat refleksologi di Bandar Seremban, hari ini. FOTO Adzlan Sidek
Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my


KEHADIRAN lebih 20 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di dua spa yang menawarkan khidmat urutan di pusat bandar Seremban menarik perhatian ramai, hari ini.

Ini berikutan ada antara mereka menyangka spa itu diserbu berikutan terbabit dalam aktiviti tidak bermoral, namun telahan berkenaan meleset apabila kehadiran pihak berkuasa sebenarnya sekadar untuk memeriksa jam digunakan di premis terbabit.

Turut menyertai pemeriksaan jam 5 petang di spa terletak di Kemayan Square dan Seremban Gateway itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan dengan diiringi Pengarah KPDNHEP negeri Ain Arjuna Aziz Zaman.

Veerapan berkata, KPDNHEP memberi perhatian terhadap penggunaan jam di spa dan pusat refleksologi, kesihatan dan kecantikan untuk memastikan penyedia perkhidmatan mematuhi sistem sukatan masa yang tepat.

“Setiap premis perlu memastikan alat sukat masa (jam) yang digunakan dalam setiap bilik atau ruang bertutup ditentu sah oleh Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM) setiap 12 bulan. Sistem sukatan yang tepat secara tidak langsung meningkatkan tahap keyakinan pelanggan.

“Pada tahun ini, KPDNHEP negeri membuat pemeriksaan di 85 spa serta pusat refleksiologi, kesihatan dan kecantikan, namun mendapati mereka mematuhi peraturan berkaitan alat sukat masa,” katanya.

Menurutnya, pemilik premis yang menggunakan alat sukat untuk kegunaan perdagangan yang tidak ditentu sah oleh MCM boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM40,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

“Pemeriksaan yang dijalankan hari ini mendapati kedua-dua premis tidak melanggar peraturan,” katanya.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan aduan atau membuat pertanyaan berkaitan penggunaan alat sukat dengan menghubungi KPDNHEP Negeri Sembilan di talian 06-6016500.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 8:33 PM