TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) melawat bilik saringan kanser sempena kempen War On Cancer Malaysia di Royal Chulan Kuala Lumpur. Turut sama Prof Dr Rozi Mahmud (kiri). FOTO Rohanis Shukri
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


ANGKA kematian akibat penyakit kanser di hospital kerajaan di negara ini meningkat sebanyak 50 peratus sejak tahun 1996.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hanya 8.9 peratus kematian sahaja direkodkan pada 20 tahun lalu berbanding 13.6 peratus yang direkodkan pada 2016.

Kata beliau, kanser adalah masalah kesihatan serius, dengan statistik dan prevalen penyakit itu meningkat di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Katanya, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2016, kanser adalah punca kematian ketiga tertinggi di hospital kerajaan di negara ini.

"Kes kanser bagi lelaki kebiasaannya adalah Colorectal Cancer sebanyak 16.4 peratus, kanser paru-paru (15.8 peratus) serta Nasopharynx Cancer (8.1 peratus) manakala bagi wanita, kanser payu dara (32.1 peratus), Colorectal Cancer (10.7 peratus) dan Cervix Uteri sebanyak 7.7 peratus.

"Ia sememangnya membimbangkan kerana dalam usaha kerajaan untuk memacu misi ke arah negara maju, Malaysia memerlukan rakyat yang sihat dan bebas dari pelbagai penyakit kronik terutamanya kanser.

“Justeru, kerajaan komited memberi perhatian kepada pelbagai strategi dan aktiviti yang dirancang menerusi Pelan Tindakan Kanser (2016-2020) namun mencegah serta membanteras penyakit kanser juga adalah tanggungjawab pelbagai pihak," katanya ketika berucap merasmikan War On Cancer di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Pengarah War On Cancer, Prof Datuk Dr Khalid Yusoff dan Master Akademi Perubatan Malaysia,Prof Dr Rosmawati Mohamed.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu meringankan beban pesakit kanser di negara ini.

Kata beliau, menerusi Institut Kanser Negara yang mula beroperasi sejak 2 September 2013, pesakit kanser boleh mendapatkan perkhidmatan, diagnostik serta rawatan khusus untuk menangani penyakit berkenaan.

"Selain itu, seramai 380,217 wanita turut mendaftar menyertai program subsidi ujian mammogram untuk wanita berusia 40 hingga 70 tahun yang berpendapatan isi rumah RM10,000 ke bawah

"Sehingga Jun lalu, 325,830 wanita di negara ini turut menerima vaksinasi Virus Human Papiloma (HPV) percuma untuk mencegah kanser rahim dan kerajaan turut menyediakan perkhidmatan pap smear di 49 klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), " katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, 73 peratus penyebab kematian rakyat Malaysia juga disebabkan penyakit tidak berjangkit.

Katanya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2015) menunjukkan bahawa 3.6 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes, 6.1 juta lagi mempunyai hipertensi (darah tinggi) dan 9.6 juta lagi menghidap hiperkolesterolemia.

"Tinjauan itu turut mendapati sejuta belia berumur 18 hingga 40 tahun menghidap diabetes manakala 1.7 juta lagi menghidap hipertensi.

"Bagi menangani masalah berkenaan, KKM merangka rangka kerja Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit (NSP-NCD) 2016-2025 untuk mengukuhkan program pencegahan dan pengawalan penyakit tidak berjangkit termasuk kanser di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 7:57 PM