BAS ekspres yang terbabit dalam kemalangan berkenaan. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
cnews@nstp.com.my


REMAJA yang menunggang motosikal maut digilis bas ekspres di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Rancangan Kemajuan Tanah (KESEDAR) Paloh, di Gua Musang, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.55 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Shahril Shahrul Azhar, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal dari Gua Musang untuk pulang ke rumahnya di RKT Kesedar Paloh 2.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai cuba memotong dua kenderaan yang menyebabkan motosikal ditungganginya bertembung bas ekspres dari arah bertentangan.

Berikutan kejadian itu, katanya, mangsa terjatuh lalu digilis bas ekspres terbabit, manakala motosikalnya terbakar.

“Bagaimanapun, pemandu bas ekspres itu, Romainor Norajin, 37, bersama penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Taufik berkata, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan petang ini.

Katanya, kemalangan maut itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 1:46 PM