GAMBAR hiasan
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@nstp.com.my


SERAMAI 23 individu berusia antara 19 hingga 38 tahun dihadapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 08, sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh ialah R Nagarajan, R Ganesh, K Ron Raniel, K Balamuruli, V Anith Kumar, P Sharveswaran, R Alagendran Pillai, S Kanagadran, M Satish Varman dan S Shashi Kumar.

Selain itu, G Thiagu, S Pandian, C Navin Naidu, M Neriendran, V Shasi Kumar, B Seleveraj, P Nagulan, M Parwin, L Pravin Kumar, N Saravanan, M Indran, S Sathiaseelan dan M Arivanathan.

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 08 di Kuala Lumpur antara 1 Januari 2015 hingga 28 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum bawah subseksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor, manakala 15 daripada 23 tertuduh berkenaan diwakili peguam Maurice Ernest Scully, Kenny Tan Cheng Yee, Lee Wenxu, Muhammad Fakkurullah Roslan dan K Komagan.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan ahli Geng 08 dalam Operasi Capital Kuala Lumpur (Op Capital KL) 2018 dari 28 hingga 30 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 1:39 PM