Pasangan suami isteri Norizan dan Haryati bermesra bersama anak mereka (dari kanan) Hariz, Hana dan Elman sebelum berangkat ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang .FOTO/SAMADI AHMAD.
Samadi Ahmad
cnews@nstp.com.my

KEGEMBIRAAN pasangan suami isteri Norizan Tokimin, 39, dan Haryati Abd Rahman, 35, apabila terpilih mengerjakan haji tahun ini tetap bersalut rasa berbelah bahagi kerana terpaksa meninggalkan tiga anak yang masih kecil.

Pasangan berasal dari Kampung Ginching, Salak, Sepang itu terpaksa ‘berpisah’ sementara dengan tiga anak mereka, Muhammad Hariz Danish, 10; Muhammad Hariz Elman, 5, dan Hana Safiya, 3.

Haryati ketika ditemui berkata, dia dan suami menerima tawaran itu dengan rasa berbelah bahagi kerana terpaksa berpisah dengan anak-anak namun pada masa sama teruja kerana terpilih untuk menunaikan ibadat haji pada usia muda.

“Peluang ini tidak harus ditolak kerana ia cuma datang sekali, kalau saya tolak mungkin terpaksa menunggu lebih lama selepas ini.

“Justeru, saya dan suami perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal demi mendapat haji yang mabrur,” katanya ditemui di Kompleks Tabung Haji Sepang di Sepang.

Katanya, dia juga sudah melatih anak-anak supaya tinggal bersama datuk dan nenek mereka yang tinggal berdekatan bagi memastikan mereka mesra dan selesa.

Haryati berkata, dia berasa lebih tenang dan tidak sabar untuk beribadah di Tanah Suci kerana keluarganya dan mentua banyak memberi sokongan serta bersedia menjaga anak ketika mereka berada di Tanah Suci.

Sementara itu, Norizan yang bertugas dengan sebuah syarikat carigali minyak di Terengganu berkata, anak-anak mungkin sudah biasa dengan ketiadaannya kerana hanya berjumpa setiap dua minggu sekali disebabkan kekangan kerja.

“Mereka (anak-anak) lebih rapat dengan isteri saya. Dia (isteri) mungkin lebih sedih kerana kali pertama berpisah jauh dengan anak-anak.

“Sebelum berangkat ke Tanah Suci saya dan isteri banyak menghabiskan masa bersama anak-anak dan setiap hari akan memberi sokongan serta motivasi agar mereka memahami tujuan pergi ke Makkah untuk beribadah.

“Sebagai tetamu Allah, saya akan berusaha mendapatkan haji mabrur dan mengambil kesempatan berdoa di sana untuk kesejahteraan dan keselamatan anak-anak supaya sentiasa dilindungi Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 1:22 PM