Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


MEMPROMOSI perkhidmatan seks menerusi aplikasi WeChat dengan bayaran RM140 untuk tempoh 45 minit 'bermain' antara taktik digunakan sindiket pelacuran di Jalan Seenivasagam, di Ipoh.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu aktiviti maksiat yang bersembunyi di sebalik rumah urut itu malam tadi.

Dalam serbuan menerusi Ops Noda bermula jam 9 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian, seramai lima wanita warga Thailand dan dua wanita warga Laos berusia antara 23 hingga 34 tahun serta dua penjaga premis warga tempatan ditahan.

Ketua Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, rumah urut itu beroperasi antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi dan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan yang membuat tempahan menerusi WeChat.

Katanya, apabila persetujuan dicapai maka pelanggan akan pergi ke rumah urut berkenaan dengan pelayan yang berpakaian seksi akan menunggu pelanggan masing-masing di bilik rehat yang terletak di belakang premis berkenaan.

“Terdapat 11 bilik kecil yang diubah suai sebagai bilik khas untuk dijadikan lokasi perkhidmatan seks.

“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk perkhidmatan seks termasuk kondom, tuala mandi, tisu dan losyen selain wang tunai berjumlah RM462,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 10:09 AM