Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


BEKAS Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin didakwa menolak tawaran Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengisi jawatan dalam parti itu sebanyak tiga kali.

Ahmad Zahid berkata, tawaran pertama diberikan sebelum pemilihan UMNO ketika beliau mencadangkan kepada Khairy untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Katanya, cadangan terbabit dikemukakan kepada Ahli Parlimen Rembau itu selepas bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan.

“Saya beri peluang kepadanya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana Hishamuddin menarik diri daripada bertanding.

“Tetapi, dia mahu kekal sebagai calon Naib Presiden, namun kemudian bertanding jawatan Presiden.

“Seleps dia kalah, saya tawarkan pula jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), dia tolak juga.

“Sebelum barisan kepemimpinan UMNO yang baharu diumumkan, saya tawarkan buat kali ketiga kepadanya, jawatan Ketua Penerangan parti tetapi dia tolak juga,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.


AHMAD Zahid menjawab soalan media di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin. Khairy Jamaluddin (gambar kecil)

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan memberikan peranan tertentu kepada Khairy bagi membolehkan bekas Ketua Pemuda UMNO itu terbabit secara langsung dalam pemulihan parti.

Ditanya apakah alasan dikemukakan Khairy di sebalik penolakan ketiga-tiga tawaran berkenaan, Ahmad Zahid berkata, Khairy mungkin ada perancangan sendiri untuk membantu UMNO serta menjadi pembangkang yang konstruktif.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau turut mengemukakan tawaran kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, ketika kedua-duanya bertemu, semalam.

“Saya beranggapan 'winner cannot take all', jadi saya harus merundingi beberapa perkara tentang peranan efektif yang boleh dimainkan beliau untuk membantu menterjemahkan kebangkitan semula UMNO.

“Itu (peranan ditawarkan) saya bincangkan dengannya dan beliau akan buat keputusan kelak,” katanya.

Ketika pemilihan parti itu pada 30 Jun lalu, jawatan Presiden UMNO menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Ahmad Zahid berjaya mengatasi Khairy, Ku Li serta dua yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 7:01 PM