GAMBAR hiasan
Shahrul Nizam Mohamad
cnews@nstp.com.my


HOSPITAL Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, menafikan dakwaan kejadian wanita warga Myanmar membawa lari bayi yang baru dilahirkannya dari wad bersalin, semalam.

Pengarahnya, Dr Norazmi Abdullah berkata, sebaliknya apa yang berlaku adalah ibu kepada bayi itu keluar wad ketika proses pembayaran bil tanpa pengetahuan pihak hospital.

"Perkara sebenarnya adalah pesakit warga Myanmar keluar wad bersama bayinya semasa proses pembayaran bil hospital.

"Kita sudah membuat laporan polis di mana ia mengikut prosedur setelah kita menyedari bahawa beliau tidak ada di katilnya. Jadinya kita membuat laporan kepada polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Sebenarnya tiada isu yang mengatakan bayi itu diletakkan dalam beg seperti yang didakwa, atau bawa lari bayi, tetapi beliau keluar bersama bayi tanpa membayar bil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian wanita warga Myanmar yang didakwa membawa lari bayi yang baru dilahirkan di HTAA kira-kira 6 petang semalam, dipercayai kerana tidak mampu membayar bil.

Kejadian itu disedari oleh jururawat yang bertugas selepas mendapati ibu berkenaan bersama bayinya tiada di katil.

Difahamkan, kos bayaran bersalin bagi warga asing mencecah RM2,500 hingga RM7,000 mengikut kelas wad yang disediakan.

Norazmi berkata, menjadi prosedur hospital sekiranya pesakit yang tidak keluar tanpa membayar bil untuk dilaporkan kepada pihak polis.

Beliau mendakwa, wanita itu mengelak daripada membayar bil dan meninggalkan hospital pada waktu puncak iaitu waktu melawat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nayan, ketika dihubungi, mengesahkan pihak HTAA sudah membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 4:12 PM