GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


EMPAT gadis termasuk seorang berusia 14 tahun, ditahan kerana dipercayai aktif memerangkap mangsa dengan kononnya menawarkan khidmat urut dan seks.

Semua gadis berusia antara 14 hingga 32 tahun dikenali sebagai 'gadis ting-ting', ditahan di dua hotel di sekitar Kota Kinabalu oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu antara 4 hingga 6.30 pagi, semalam.

Hasil serbuan itu, polis turut menahan enam lelaki disyaki terbabit dengan kegiatan berkenaan yang dibongkar susulan laporan daripada seorang mangsa yang ditipu oleh semua suspek terbabit pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, berdasarkan laporan itu, mangsa berumur 30 tahun menemui dua lelaki tidak dikenali untuk mendapatkan khidmat urut yang ditempah melalui aplikasi WeChat.

"Ketika itu, mangsa menemui dua lelaki di hotel dan suspek bagaimanapun mengambil telefon bimbitnya sebelum melarikan diri. Susulan itu, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chandra berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian itu di hotel, 4 pagi, semalam.

"Hasil soal siasat terhadap suspek itu, polis kemudian menyerbu bilik di hotel itu dan menahan dua wanita serta dua lelaki dan menemui barang disyaki dicuri. Siasatan lanjut membolehkan seorang lagi suspek ditahan di kawasan parkir di hotel berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pada 6.30 pagi hari sama, polis menyerbu pula hotel berdekatan dan menahan dua wanita dan dua lelaki disyaki suspek dalam kes pada Ahad lalu, bersama beberapa barang dipercayai dicuri.

"Semua suspek mengaku terbabit dalam kes itu dan mereka didapati aktif melakukan jenayah berkenaan sejak awal tahun ini di sekitar bandar raya ini.

"Kumpulan ini akan menggunakan suspek wanita dan cuba memerangkap mangsa lelaki melalui WeChat dan Beetalk untuk tujuan urut dan mengadakan hubungan seks.

"Selepas itu, suspek wanita akan meminta mangsa ke mana-mana hotel di sekitar bandar raya dan membuat bayaran kepada suspek lelaki. Ketika berada di dalam bilik, suspek lelaki akan merempuh masuk dan mengugut mangsa sebelum melarikan wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa," katanya.

Menurut Chandra, hasil pendedahan lanjut semua suspek terbabit dalam pelbagai kes seumpama ini sejak awal tahun ini dan mengaut hasil dengan menjual barang milik mangsa.

"Soal siasat masih diteruskan dan empat daripada suspek itu didapati positif dadah. Selain itu, empat daripada suspek juga mempunyai rekod berkaitan dadah dan ada antara mereka masih dibicara di mahkamah.

"Semua tangkapan empat wanita dan enam lelaki berusia 14 hingga 35 tahun kini direman untuk siasatan lanjut. Polis merampas 10 telefon bimbit, beberapa dompet, beg duit, topeng dan sebilah pisau," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 4:42 PM