MOHD Ruslin maut selepas treler membawa muatan klorin dipandunya terbabas sendiri dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP). -Foto IHSAN BOMBA PAHANG
Amin Ridzuan Ishak
cnews@nstp.com.my


PEMANDU maut selepas treler muatan klorin dipandunya terbabas di Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), di Kuantan, hari ini.

Mohd Ruslin Mohamad Yidin, 32, dari Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu maut di lokasi kejadian kerana cedera parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuala Lumpur, dikatakan gagal mengawal trelernya sebelum terbabas di bahu kiri jalan.

“Kenderaan itu terbalik dan mangsa maut di lokasi. Kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi. hari ini.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul, berkata klorin yang dibawa treler itu tidak tumpah dan berjaya dialihkan sepasukan anggotanya yang ke lokasi sejurus panggilan.

“Treler membawa sembilan tong klorin yang semuanya didapati tidak bocor dan tiada juga tumpahan. Ia tidak membahayakan pengguna jalan raya yang melalui lokasi itu.

“Ia dipindahkan dan kita juga membantu membawa keluar mangsa dengan memotong kepala treler itu. Mayatnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 2:56 PM