LOKASI kemalangan maut membabitkan seorang pejalan kaki yang dirempuh lori di Kilometer 16.9, Jalan Kampung Rasak, Kota Marudu. FOTO/IHSAN PEMBACA
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my

TINDAKAN seorang lelaki berjalan di tengah jalan raya, mengundang padah apabila dia maut dirempuh sebuah lori di Kilometer 16.9, Jalan Kampung Rasak di Kota Marudu, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, Saleh Malusa, 47, berasal dari Kampung Mangkabusu, Pitas, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca akibat tindakan mangsa yang berjalan di tengah laluan terbabit.

“Sebelum kejadian, pemandu lori jenis Toyota Dyna berusia 37 tahun sedang memandu dari arah Pitas menghala Kota Marudu, namun sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu secara tiba-tiba terlanggar mangsa lalu memberhentikan kenderaannya.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa parah dan maut di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Lotong, Kota Marudu, manakala polis masih menunggu laporan perubatan bagi mengenal pasti bahagian kecederaan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Izaan berkata, keadaan jalan lurus dua hala dan cuaca baik, namun keadaan gelap disebabkan ketiadaan lampu jalan.

“Pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:40 PM