FUZILAH bersama isteri serta dua anak mereka di hadapan pondok tempat mereka berteduh di Kampung Charok Bakong, Dalam Wang. FOTO/SAFURI KAMARUDIN
Safuri Kamarudin
cnews@nstp.com.my

KESEMPITAN hidup menyebabkan suami isteri dan dua anak terpaksa hidup di pondok buruk yang dibina di pinggir Kampung Charok Bakong, Dalam Wang, dekat Baling, sejak tiga tahun lalu.

Bagi Muhamad Fuzilah Che Azmi, 35, isteri, Siti Zakiah Mustafa, 28, serta dua anak, Muhammad Izzul Darwisy, 7, dan Siti Nur Iklil Amani, 2, pondok yang berdinding buluh dan beratap zink itu adalah ‘syurga’ mereka.

Di situlah empat beranak berkenaan berteduh dari hujan dan panas kerana tidak mampu mendiami rumah lebih selesa disebabkan kemiskinan.

Muhamad Fuzilah berkata, dia terpaksa membina pondok itu menggunakan kayu hutan dan barangan terbuang kerana tidak mampu menyewa kediaman selain malu menumpang rumah ahli keluarga lain.

Dia hanya bergantung kepada upah diberi penduduk kampung hasil melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara keluarganya.

Muhamad Fuzilah berkata, bapa mana yang sanggup melihat anaknya terpaksa bersejuk tiap kali hujan lebat akibat terkena tempias air yang masuk melalui atap dan dinding pondok yang bocor.

“Setiap kali hujan kami terpaksa berpindah tempat tidur kerana air masuk di segenap penjuru pondok.


KEADAAN dapur dan bilik tidur tempat tinggal Muhamad fuzilah Che Azmi dan keluarganya di Kampung Charok Bakong Dalam Wang. FOTO/SAFURI KAMARUDIN

“Memang sedih melihat anak-anak yang basah terkena tempias air hujan, namun saya tetap bersabar dengan setiap ujian Allah ini,” katanya.

Bagi menjimatkan wang, keluarga berkenaan juga terpaksa menggunakan air bukit untuk memasak dan membasuh selain bergantung kepada bekalan elektrik daripada rumah jiran yang tinggal berdekatan.

Muhamad Fuzilah berkata, dia pernah memohon mendapatkan bantuan perumahan, tetapi tidak tahu status sehingga kini.

“Saya akan berusaha mencari rezeki setiap hari bagi memastikan dapur berasap dan anak saya dapat ke sekolah kerana tidak mahu menjadikan kemiskinan sebagai alasan anak tercicir dalam pelajaran.

“Saya akan pastikan anak saya yang sedang belajar di Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang ke sekolah setiap hari seperti murid lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:37 PM